Sunday 13 December 2015

Lawatan Taman Konservatory



Pada hari Khamis yang lalu, 26 November 2015, kami dari Kumpulan 2 telah membuat lawatan ke Taman Konservatori Pertanian, Universiti Putra Malaysia untuk membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah kami iaitu Dr. Natrah Fatin Binti Mohd Ikhsan bagi matapelajaran Agriculture and Man di tahun satu. Banyak pengetahuan yang kami perolehi di sana dengan dibantu oleh En. Ahmad Hisham Bin Mohd Sidi. Kami telah berkumpul di Cafeteria seawal 7.00 pagi untuk pergi bersama-sama ahli kumpulan dengan menaiki bas.




          


Untuk melawat Taman Konservatori, kami dikehendaki membuat tempahan 2 minggu sebelum hari kejadian kerana kami memerlukan pengawasan dari pegawai di taman itu. Taman Konservatori mempunyai waktu lawatan yang telah ditetapkan agar memudahkan pelawat-pelawat untuk membuat tempahan bermula pada hari Isnin hingga Khamis dibuka pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan pada sebelah petang pula bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang manakala pada hari Jumaat, ianya dibuka pada pukul 8.30 pagi hingga 11.30 tengahari. Kami telah memilih hari Khamis pada waktu pagi selama 1 jam dari 8.30 hingga 9.30 pagi dan kami dikehendaki membayar sebanyak RM 10.00 bagi setiap seorang. Pada pukul 8.30 pagi, kami telah diberi taklimat sebelum memasuki taman tersebut oleh Penolong Pegawai Pertanian iaitu En. Ahmad Hisham Bin Mohd Sidi mengenai sejarah Taman Konservatori Pertanian.


Antara sejarah yang dapat dikongsikan ialah ianya sebuah kawasan pemuliharaan tumbuhan ex-situ yang mengumpulkan koleksi tumbuhan asli Malaysia. Berkonsepkan taman botani yang meliputi keluasan hampir dua hektar yang pada asalnya merupakan ladang getah pelbagai klon. Ladang getah pada awalnya adalah di bawah pengawasan Unit Ladang Universiti (TPU) sekitar 1980-an sehinggalah tahun 1996 ianya diambil alih oleh Institut Biosains sebagaimana tertubuhnya institut ketika itu. Seiring dengan perkembangan penyelidikan semasa, skop Institut yang luas telah menjadikan aktiviti-aktiviti penyelidikan lebih dinamik. Tahun 2003, Taman Konsevatori Pertanian telah ditubuhkan dan Institut bertanggungjawab untuk merancang segala perjalanan aktiviti penyelidikan dan pembangunan komersial yang berasaskan tumbuhan. Taman Konservatori Pertanian sering menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan terutamanya ahli akademik, saintis hinggalah orang perseorangan. Kini hampir 600 spesies berjaya dikumpulkan hasil daripada aktiviti ekspedisi saintifik di seluruh negara.
Taman ini mengandungi 11 zon utama yang dibahagikan kepada koleksi tumbuhan aroma, tumbuhan ubatan, ulaman, halia hutan, periuk kera, orkid hutan, keladi hutan, rempah ratus, aquatik, buah-buahan hutan dan paku-pakis. Dengan adanya koleksi-koleksi sebegini ianya membantu pihak universiti untuk memajukan penyelidikan dalam sektor pertanian, farmaseutikal dan hasilan semulajadi sekaligus memulihara keberkekalan spesies asli daripada kepupusan.
Antara tumbuhan yang kami pelajari ialah jenis-jenis serai wangi dan serai yang dimasak. Serai wangi digunakan untuk mandian, Keladi Tikus atau Birah Kecil yang merupakan tumbuhan wangian digunakan untuk mengubati penyakit barah, Ekor Anjing atau Ekor Angina merupakan pokok herba yang digunakan untuk mengubati demam dan kecederaan ringan. Selain itu juga, pegawai berkenan telah menunjukkan beberapa jenis Tongkat Ali antaranya Tongkat Ali Hitam dan Tongkat Ali Pasak bumi yang mempunyai kegunaan yang sama iaitu tonik, mengubati lenguh badan dan demam tetapi mempunyai ciri-ciri yang berbeza mengikut jenis daun dan pokoknya, Justeru, kami diberikan petua untuk megubati penyakit cirit-birit atau gigitan binatang berbisa dengan menggunakan tumbuhan yang diberi nama Melada Pahit. Pokok Putat Kampung pula digunakan untuk mengubati penyakit gatal-gatal, resdung dan sakit perut. Kebanyakan tumbuhan yang kami pelajari adalah yang mengubati wanita lepas bersalin antaranya ialah tumbuhan Si Gemok, Cempaka Kuning, Kesidang, Melati, Senduduk Merah, Cempaka Telur dan banyak lagi.


Kesimpulannya, mengunjung ke Taman Konservatori Pertanian ini memberikan kami banyak pengetahuan, pengalaman dan ilmu baru terutama bagi kami yang mengambil kos perakaunan yang tidak didedahkan dengan sepenuhnya mengenai pertanian. Segala ilmu yang diberikan antaranya yang tertumpu kepada wanita lepas bersalin akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh kami. Terima kasih kepada Dr. Natrah Fatin binti Mohd Ikhsan yang telah mengajar dan memberi peluang kepada kami untuk mengenali lebih banyak tumbuh-tumbuhan semulajadi dan ilmu pertanian yang sangat berguna.

No comments:

Post a Comment